Friday, March 25, 2011

Nilai Islam Bangsa Melayu dan Penjajah

Kalau roboh Kota Melaka,

papan di Jawa hamba dirikan,

kalau sungguh bagai dikata,

badan dan nyawa hamba serahkan.


Seorang ilmuwan Islam Melayu yg aktif dalam isu-isu Palestin, Dr Hafidzi ada mengulas tentang pantun ini. Di dalam sebuah pembentangan beliau bertajuk Sejarah Islam di Nusantara, beliau mengatakan bahawa pantun ini adalah jawapan kepada seruan jihad untuk Alam Melayu selepas Kesultanan Melayu Melaka digulingkan oleh Portugis. Orang-orang Jawa pada waktu itu terkejut dgn berita yang mereka terima bahawa Melaka telah tumpas kepada Portugis. Jawa merupakan antara kawasan yang mendapat Islam melalui para pendakwah Melaka. Kerajaan Islam Demak di Jawa juga mempunyai hubungan yang akrab dengan Kesultanan Melayu Melaka. Walaupun mereka kurang percaya akan berita tersebut, namun atas semangat jihad dan ketaqwaan yg tinggi mereka menjawab


Kalau roboh Kota Melaka,

papan di Jawa hamba dirikan,

kalau sungguh bagai dikata,

badan dan nyawa hamba serahkan.


Papan di dalam pantun ini mungkin bermaksud papan untuk membina senjata atau kapal untuk menyerang balas. Wallahualam. Terlalu banyak sejarah bangsa kita yang dilenyapkan oleh bangsa penjajah. Mereka berbuat demikian untuk menghilangkan nilai-nilai Islam dalam diri kita. Kini bangsa kita hilang jati diri. Islam tergadai, bangsa dinodai. Cuba kita lihat negeri Melaka (yang digelar sebagai Bandar Bersejarah), adakah tinggalan sejarah di sana tinggalan sejarah Kesultanan Melayu Melaka yang Islam atau tinggalan sejarah penjajah Portugis, Belanda dan Inggeris?


Walaupun Islam sudah beratus tahun bertapak di Tanah Melayu, namun Masjid tertua di Tanah Melayu (Masjid Kampung Hulu di Melaka atau Masjid Kampung Laut di Tumpat, Kelantan) hanya dibina pada awal abad ke-18. Itu pun, pembinaan Masjid Kampung Hulu di Melaka pada waktu itu dibiayai oleh penjajah Belanda yang menukar dasar mereka kepada kebebasan beragama. Adakah bangsa Melayu yang Islam tiada masjid sebelum dari itu? Jika ada, kenapa tidak dijaga dengan baik untuk kegunaan dan tatapan anak bangsa pada hari ini? Jawapannya hanya satu, masjid-masjid di Tanah Melayu pernah dimusnahkan secara keseluruhan oleh penjajah. Mereka menukar segala nilai-nilai Islam yang menjadi identiti dan kebanggaan bangsa Melayu dengan nilai-nilai yang diperkenalkan Barat. Sehinggakan pantun yang membawa maksud seruan jihad dan persaudaraan Islam yg tinggi di antara Melaka dan Jawa , disalahertikan menjadi sebuah pantun cinta yg melambangkan kerosakan akhlak dan sosial masyarakat (sanggup korbankan badan dan nyawa demi cinta manusia = buang anak dalam longkang tepi jalan).


Pada hari ini, bila dikatakan moden, kita memandang kepada Barat. Bila dikatakan maju, kita lihat Barat. Cara berhibur, kita lihat Barat. Cara berpakaian, kita lihat Barat (sampaikan pakaian Muslimah diasimilasikan dengan fesyen Barat menjadi fesyen yang seksa mata memandang). Cara mentadbir negara kita rujuk pada Barat. Sampaikan hal ehwal Islam pun kita mahu Barat yang tentukan (Gerakan Islam dikatakan pengganas, kita hanya mengangguk). Sampai bila?


Saturday, October 2, 2010

Sayonara Jahiliyyah

Sayonara Jahiliyyah banyak membincangkan tentang keperluan untuk setiap individu Muslim meninggalkan apa yang dimaksudkan dengan Jahiliyyah. Apakah itu Jahiliyyah? Jahiliyyah merupakan segala perkara yang datang bukan dari Islam, tidak bersifat Islam dan bertentangan dengan syariat Islam. Untuk memudahkan pemahaman para pembaca, saya ingin membuat sebuah perbandingan, perbandingan antara kasih sayang seorang anak yang beragama Islam terhadap ibunya dengan seseorang yang percaya akan ideologi atheist yang turut kasih dan sayang akan ibunya. Persoalannya di sini, apakah beza kedua-dua individu ini? Adakah sama nilai kasih sayang terhadap ibu yang ditekankan di dalam Islam dan juga nilai kasih sayang terhadap ibu bagi insan yang bukan Muslim?

Di sinilah ditekankan tentang maksud yang lebih mendalam tentang syahadah.

أشهد أن لا إله إلاَّ الله و أشهد أن محمد رسول الل

Sesungguhnya, syahadah bermaksud tiada Illah selain Allah dan Nabi Muhammad Rasul Allah. Apakah itu Illah? Illah bermaksud sembahan. Maka, bagi seorang Muslim yang sejati, tidak seharusnya ada suatu entiti yang lebih agung di dalam hidupnya melainkan Allah. Seorang Muslim diharamkan menyembah apa-apa selain Allah. Setiap ibadat adalah haram melainkan ibadat hanya kepada Allah SWT. Tidak kira dalam bentuk apa sekali pun entiti itu; ideologi (komunisme, fasisme, nasionalisme), manusia (kekasih, ibu bapa, artis pujaan) dan harta, semua itu dilarang daripada dijadikan Illah di dalam kehidupan individu Muslim.

Menjawab persoalan yang diajukan sebentar tadi, sesungguhnya kasih sayang terhadap ibu atas dasar membalas jasa ibu semata-mata bertentangan dengan hukum Islam kerana ianya bagaikan menjadikan ibu sebagai Illah dalam kehidupan. Namun, Islam tidak pernah menganjurkan sesuatu yang bertentangan dengan fitrah kejadian manusia. Maka, dalam hal ini Islam mewajibkan setiap penganutnya untuk berbuat-baik kepada ibu bapa dengan bersandarkan niat untuk mencari keredhaan Allah, dalam masa yang sama membalas jasa ibu yang melahirkan dan membesarkan kita. Ini merupakan satu contoh yang ringkas bahawa setiap apa yang dilakukan oleh seorang individu Muslim haruslah bersandarkan kepada mencari keredhaan Allah.

Konklusinya, untuk mencapai situasi di mana kita mampu untuk meninggalkan segala nilai-nilai jahiliyyah di dalam kehidupan kita, setiap perkara yang dilakukan; bekerja, belajar, bersukan, berhibur dan berehat, semua itu haruslah disandarkan kepada untuk mencari keredhaan Allah.

Sunday, December 13, 2009

Hadis Rasulullah SAW Tentang Pembebasan Kota Constantinople

Sabda Rasulullah s.a.w. ketika menggali Parit Khandaq;

“Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera”

(Hadis riwayat Imam Ahmad)

Ramai tokoh Islam yang cuba merealisasikan hadis ini dengan berusaha habis-habisan untuk menawan Constantinople. Antaranya adalah Saiyidina Umar al-Khattab & Saiyidina Abu Ayub al-Ansari. Namun kesemuanya gagal hinggalah 700 tahun kemudian apabila munculnya seorang putera bernama Muhammad al-Fatih (Mehmet al-Fateh). Baginda hanya berumur 24 tahun ketika mengetuai bala tenteranya membebaskan Constantinople. Bandar ini kemudiannya dinamakan Istanbul yang bererti "Islam Selamanya".

Apabila kejayaan telah dikecapi, pada pagi itu, Sultan Muhammad al-Fatin ingin memilih dari kalangan tenteranya seseorang untuk menjadi imam solat Subuh. Baginda bertanya,

"Siapakah antara kamu yang sepanjang ingatannya pernah meninggalkan solat lima waktu, sila duduk."

Namun, tiada seorang pun antara mereka yang duduk. Baginda bertanya lagi,

"Siapakah antara kamu yang sepanjang ingatannya pernah meninggalkan solat rawatib, sila duduk."

Sebahagian daripada tenteranya duduk. Baginda bertanya lagi,

"Siapakah antara kamu yang sepanjang ingatannya pernah meninggalkan solat tahajud, sila duduk."

Kesemua daripada tenteranya duduk dan tinggallah Sultan Muhammad al-Fatih berdiri keseorangan. Lalu bagindalah yang mengimami solat Subuh berjemaah pertama di bumi Istanbul pada pagi itu.

Bilakah akan munculnya seorang pemimpin seperti Sultan Muhammad al-Fatih? Pemimpin yang akan membawa kita keluar dari kegelapan runtuhnya Khalifah Islamiyah ini? Renungkanlah...